Pages

Ahad, 29 Januari 2012

Hujung minggu di Titi Kerawang

Masa terluang hujung minggu perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Memandangkan aku jarang punyai banyak masa terluang seperti ini, ditambah pula dengan keinginan untuk berendam di air terjun setelah lama kawasan rekreasi air terjun ditutup di banyak tempat kerana virus kencing tikus, akhirnya kesempatan terbuak di depan mata. Pagi itu, aku bangun awal menyediakan nasi beriani untuk dibawa bersama. Bukannya susah, zaman dah moden, semua tinggal campak dalam peiuk nasi, 15 minit dah siap... 
Gambar baru sampai. Sign board tu nampak cacat sebab kena conteng.. hmm
Jam 12.00 tengahari kami berlima, memulakan perjalanan ke air terjun Titi Kerawang, di Balik Pulau, Pulau Pinang. Perjalanan sekitar 40 minit, kami akhirnya sampai ke tempat yang dituju. Sebaik tiba, kami segera meninjau 'port' untuk kami berbeku... nasi beriani telah kusiapkan, dan lauknya sahaja yang tidak sedia. Lauk kami tengahari ni, ayam perap yang siap sedia di super market. Jimat masa dan tenaga, tak perlu bersusah-payah menyiapkan rempah. 
Ayam yang kami panggang, rasanya memang sedap. kawal api sikit, supaya tak hangus. Apabila warnanya sudah agak keemasan, cuba potong sikit, kalau isinya da masak, angkat je, tak payah tunggu lagi.
Makanan kami tengahari ni, Homemade Nasi beriani dan ayam bbq. Nasi beriani tu tak macam yang kat kedai selalu tu sebab aku pakai beras biasa je, tak pakai beras basmathi. Beras biasa pun, rasanya bolehlah tahan... nak buat macam mane, masakan orang bujang.
Air terjun Titi Kerawang ni tak la terkenal sangat, tapi kalau nak bersantai bersama famili dan kawan-kawan, pun ok. Kebetulan waktu aku di sana, pengunjung tak lah ramai sangat.. ada ruang untuk berbeku dan berendam dengan selesa.. 
ni lah kawasan air terjun Titi Kerawang. airnya tak lah dalam, separas dada orang dewasa je.
Air terjun ni memang sejuk... kalau waktu tengahari pun menggigil semacam, kalau pagi-pagi macam mane la ye?
Agak lama kami di sana, lebih kurang jam 4.30 petang kami mula berkemas. Sampah-sampah kami kumpulkan dan dibakar. Di sini, tong sampah tak disediakan, bilik air dan bilik persalinan juga tak ade. Jadi, kepada pengunjung, buat persiapan awal dan pandai-pandailah di sana. 
Destinasi kami selepas itu, Laksa Janggus, terkenal di Pulau Pinang. Kami tiba lebih kurang jam 5.00 petang. Pengunjung agak ramai. Mujurlah ada satu meja kosong, kurasakan meja itu baru sahaja dikosongkan memandangkan pinggan mangkuk masih lagi belum dikemas. Nak order makan, memang tak ada orang yang akan datang untuk ambil order, nak tak nak, beratur la panjang-panjang sebab pelanggan memang ramai. Harga laksa disini, RM 2.50 untuk biasa dan RM 3.50 untuk special. Apa beza special dan biasa? Aku nampak sama je, mungkin yang berbeza hanyalah kuantiti sahaja. Yang biasa mangkuk kecil sedikit daripada special, berbaloi dengan harga.
Laksa Janggus. Kenapa janggus? yang tu aku tak pasti, mungkin sebab depan kedai tu ada pokok janggus kot.
Ok, tamat untuk cerita kali ni... mungkin nanti lama baru update blog. Musim sibuk akan tiba tak lama lagi. zzzzzzz


Khamis, 26 Januari 2012

Kota Bharu

Kota Bharu Bandaraya Islam, begitulah gelarannya. Terletak jauh di utara pantai timur semenanjung Malaysia, Kota Bharu menawarkan pengalaman baru untuk aku catatkan. Kali pertama menjejakkan kaki di sini, kunjunganku atas sebab kerja, masa terluang aku gunakan untuk meronda sekitar Kota Bharu.  Antara tempat yang sempat kulawati, Pasar Besar Siti Khadijah, Bank Pitis, Wakaf Che Yeh, Istana Jahar, Masjid Muhammadi, Muzium Perang dan Menara Tinjau Tambatan Diraja. sedikit terkilan kerana tak berkesempatan ke Pantai Cahaya Bulan, Rantau Panjang dan tempat menarik yang lain. Kebetulan sewaktu lawatan, Muzium Islam ditutup kerana proses renovasi. Alahai nasib.


1. PASAR BESAR SITI KHADIJAH
Pasar ini asalnya Pasar Besar Buluh Kubu dan kemudian ditukar namanya kepada Pasar Siti Khadijah sebagai penghormatan kepada kaum Hawa yang ramai berniaga disini. Nama Siti Khadijah merupakan isteri Nabi Muhammad s.a.w yang juga merupakan seorang peniaga yang berjaya.
Pasar ini berbentuk segi lapan dan mempunyai empat tingkat. Tingkat bawah dikhaskan untuk barang basah seperti sayur-sayuran, buah-buahan makanan. Tingkat 1 pula dikhaskan untuk makanan kering dan kuih tradisonal. tingkat 2 dan 3 pula dikhaskan untuk barang bukan makanan seperti baju batik, kain pasang dan cenderahati. Dalam sibuk mencari keperluan, awas dengan peminta sedekah yang meminta secara gerila, ada yang menyanyikan lagu, meminta secara terus dan juga ada yang memberikan Surah yasin dan jika anda ambil, mereka akan meminta duit daripada anda. 


2. BANK PITIS
Bank Pitis terletak di tepi jalan bersebelahan dengan pintu pagar Istana Balai Besar. Bangunan batu segi empat dengan lebar 12 kaki dan berketinggian 12 kaki merupakan bangunan batu tertua dibina pada zaman Sultan Muhammad iii (Long Kundur bin sultan Ahmad). tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan pitis (matawang kelantan pada zaman dahulu). Daun pintunya diperbuat daripada Kayu cengal dan mempunyai 3 penyelak kunci yang diperbuat daripada besi.


3. MASJID MUHAMMADI
Masjid Negeri Kelantan ini dibina pada tahun 1867 ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad ii (1837-1886) dengan menggunakan kayu-kayu terpilih. Kemudian, pada tahun 1922, pengubahsuaian daripada bangunan kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan dan dirasmikan oleh Sultan Ismail ibni almarhum Sultan Muhammad iv pada 31 Julai 1931. Nama asalnya, Masjid  besar ditukar kepada Masjid Muhammadi bersempena Sultan Muhammad iv yang banyak berjasa kepada rakyat Kelantan. 


4. ISTANA JAHAR
Istana Jahar terletak berhampiran Istana Balai Besar siap dibina pada tahun 1887 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad ii (1837-1886) setelah pembukaan Kota Bharu. Semasa pemerintahan Sultan Muhammad iv, baginda menitahkan supaya ditanam sepohon pokok jahar di laman istana dan kemudian istana ini dinamakan Istana jahar sempena pohon jahar. Mengikut Tan Sri Mubin Sheppard dalam artikelnya 'Kelantan Palaces of the past' beliau menyatakan bahawa bangunan asal ini telah dirobohkan pada 1965 setelah terbiar sekian lama dan dibina bangunan baru sebagaimana sekarang. Kemudian istana ini telah dipinjamkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk dijadikan muzium negeri. setelah Muzium negeri berpindah ke bangunan lama Majlis Perbandaran Kota Bharu, bangunan ini telah dijadikan Muzium adat istiadat Diraja Kelantan yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Kelantan pada 27 Julai 1992. Untuk memasuki Istana ini, pengunjung perlulah membeli tiket berharga RM 2.00 di pintu masuk.


5. MUZIUM PERANG @ BANK KERAPU
Bangunan Muzium perang ini asalnya adalah Bank Kerapu, sebuah bank perdagangan. Dinamakan kerapu kerana dindingnya yang bergerutu dan tidak licin. Bangunan 2 tingkat ini dibina pada tahun 1912 dan dikenali sebagai The Mercantile Bank of India Ltd. Semasa pemerintahan jepun (1942-1945),  bangunan ini dijadikan ibu pejabat kempetai (polis rahsia). Selepas perang, bangunan  ini digunakan semula sebagai bank dan kemudian pada 1981, tingkat atas bangunan ini dijadikan balai seni lukis dan tingkat bawah merupakan dewan kraftangan. Pada 1922, bangunan ini dijadikan memorial perang dunia kedua. Tiket untuk memasuki sebanyak RM 1.00 sahaja.


6. PADANG MERDEKA
Padang Merdeka atau Merdeka Square pada asalnya dikenali sebagai Padang kelupang yang menempatkan pasar yang dipindahkan daripada pasar terapung. Melihat kehijauan rumput disini, pasti ramai yang tidak mengetahui, disinilah jenazah Tok Janggut, yang menentang British di Pasir Putih telah digantung secara songsang pada tahun 1915. Padang ini juga telah menyaksikan majlis pengisytiharan kemerdekaan pada 31 ogos 1957 dan sejak itu dikenali sebagai Padang Merdeka.


7. MENARA TINJAU/MENARA JAM
Menara ini terletak bersebalahan Tambatan Diraja yang bertentangan dengan Sungai Kelantan. Menara 6 tingkat ini setinggi 47 meter digunakan untuk memerhati keadaan sungai Kelantan. berada di tingkat 6, hampir seluruh pemandangan sekitar Kota Bharu dapat dilihat. Untuk menaiki menara ini, pengunjung perlulah membeli tiket dengan harga RM 1.00. Menara ini dibuka untuk kunjungan pada jam 8.00 am - 5.00 pm.
Menara dan Tambatan diraja
8. TAMBATAN DIRAJA (Royal pier)
Struktur ini yang berwarna kuning dan putih terletak di hujung Jalan Sultan terus ke Sungai Kelantan.

Makanan yang paling best dengan harga yang paling best, Nasi Kerabu Ayam percik dengan harga RM4.00, terbaik dari Kelantan.


Best memory always come with friends. These are the moment that I can't forget. 
depan istana Jahar.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...