Pages

Sabtu, 18 Jun 2011

Sehari di Kota Kinabalu

Entry ini adalah sambungan kepada entry yang sebelum ni, yang bertajuk "Coretan dari Bumi di Bawah Bayu"

Hari itu, 12 Jun 2011  di Kem BTN Kundasang. Kami semua bangun awal untuk bersiap-siap kerana pergerakan kami dijadualkan pada pukul 8.00 pagi menuju ke Kota Kinabalu. Mungkin sengaja kami diuji, pagi itu air di shower tak ada. Sekadar mandi di paip air di bawah sajalah... Dengan keadaan di luar yang agak dingin, mandi hanyalah sekadar membersihkan badan kerana kami akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pula. Selesai bersarapan, kami semua berkumpul untuk dibahagikan mengikut kenderaan masing-masing dan sempat juga mengambil gambar-gambar terakhir berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Pagi itu, terlihat dari jauh Gunung Kinabalu, sedikit berkabus dan dapat kulihat dari jauh seakan-akan air menuruni celah-celah batu Kinabalu. Mungkin kerana hujan pada malam tadi. Selesai bersalaman, kami berkumpul membaca doa perjalanan dan kami terus menuju ke UMS sebagai transit terakhir kami. Sepanjang perjalanan, terngiang-ngiang di telingaku lagu Kinabalu, nyanyian Kimin. Dari dalam van, jelas terasa perbezaan, nampaknya tiada lagi kedinginan Kundasang... 
Perjalanan kami ke UMS mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. 

Selesai menyimpan barang di bilik penginapan di UMS, kami segera ke bandar Kota Kinabalu kerana kami tidak punya banyak masa berkunjung ke sini. Memandangkan jam menunjukkan jam 12.00 tengahari, perut sudah berbunyi menandakan waktu makan hampir tiba, kami segera mencari tempat makan. Lokasi kami, kompleks pasar borong, di atasnya tempat makan. Makanan di sini agak murah, nasi campur empat jenis lauk hanya RM 3.00. Muraah kan... yang ni lauk aku tengahari tu..
udang goreng, udang sambal, ikan pari dan rumpai laut = RM3.00
Selesai makan, kami ke Pasar Filipina. Kenapa digelar begitu? mungkin kerana ramai peniaga daripada filipina di sini... Di sini, adalah kompleks kraftangan Sabah. Kalau nak beli mutiara Sabah, di sini mungkin antara tempatnya. memang banyak, boleh pilih mana yang berkenan
Gelang mutiara
 Mutiara di sini murah. Kalau pandai menawar harga, pasti tak rugi. Bukan saja mutiara, di pasar ni juga banyak produk-produk Sabah seperti kain pua, cenderahati, Vase, Arca, nak cari sumpit pun ada. Kalau nak membeli, pandai-pandailah runding harga terbaik, pasti tak rugi.

kraftangan
Yang ini gambar di luar Pasar Philipine, cantik lukisannya.
Lupa aku nak bagitau, mutiara ni ada beberapa jenis, setakat yang aku tau, ada mutiara air tawar dan mutiara air masin. Mutiara air tawar ni banyak dijual dengan harga yang murah, tapi, kalau mutiara air masin, mahal, sebutir boleh dijual sehingga RM50. Jadi, terpulanglah mana yang berkenan di hati, asal duit ada, belilah...
Sebelah kompleks kraftangan ni, ada kompleks ikan kering dan produk laut. Macam-macam ada...
Yang ini gambar timun laut, harganya RM860 sekilogram.
Ok, lepas penat berjalan-jalan di pasar Philipine, kami naik bot pula. Destinasi kami seterusnya adalah sekitar Pulau Gaya. Dengan menyewa dua biji bot (1 bot RM50.00), kami dibawa sekitar Pulau Gaya. Yang ni aku tunjukkan sedikit gambarnya.
Masjid Terapung Pulau Gaya.

Kawasan Perkampungan atas air


Salah sebuah rumah orang bajau laut.
Sempat juga kami berkunjung ke Sekolah Pulau Gaya. Sekolahnya cantik dan unik. 
jeti sekolah

Kelas pembelajaran

Sebelum bertolak balik, Abang yang bawa bot tu menjemput kami ke rumahnya, sekadar melawat. Yang ni rumahnya,
jeti kampung Pulau Gaya

Dari luar, rumahnya nampak biasa saja, di dalam, memang cantik.... Menurut abang tu, kawasan Pulau Gaya ni kawasan petempatan Orang Bajau laut. Pernah ada orang yang meminta mereka berpindah ke darat kerana mungkin ada ancaman tsunami. Aku sangat tertarik dengan jawapan abang tu, katanya, kalau sudah ditakdirkan terkena tsunami, duduk di darat pun kena juga...  hmm 
Kami solat Jamak di situ dan sempat dihidangkan minuman oleh tuan rumah
Sebelum balik, sempat juga ambil gambar
Perjalanan ni memang tidak disangka. Dapat mengenal masyarakat di sini, walaupun sederhana, mereka nampak selesa. Mungkin, inilah yang dikatakan bukan wang yang beri kebahagiaan. 
Habis cerita di Pulau Gaya. Kami seterusnya ke Central Point, mencuci mata dan main Bowling (1 game sahaja). Nasibku agak baik, tempat kedua dengan 91 mata. 
Kami kemudian ke Pasar malam, berdekatan Central point. Di sini juga banyak dijual cenderahati dan yang penting, mutiara di sini lebih murah berbanding di Pasar Philipine. Aku lihat ada sebilangan rakanku yang merungut tentang harga... haha, maklumlah, sudah banyak berhabis membeli mutiara, tiba-tiba tengok mutiara yang dijual dengan harga yang lebih rendah.. dah nasib.. 
Seterusnya, perut sudah menyanyi-nyanyi minta diisi. Kami ke Gerai makanan berdekatan pasar Philipine, mencari menu makanan. Gerai yang kami pergi, gerai pertama, duduk dan terus order makanan. Di sini, kita boleh memilih ikan yang diingini, setiap 100g dicaj RM3.00 untuk apa-apa jenis masakan. Aku memilih ikan kerapu, beratnya 800g, cukup 5 orang makan. Aku tunjukkan gambar ikan kerapu masak tiga rasa yang kami makan.
Pergh... nampak sedap kan... memang terliur la tengok.. rasa die memang sedap... Rugi kalau tak cuba.


Sampai di sini coretanku. Perjalanan kami berakhir di sini dan terus pulang ke tempat penginapan kami di UMS. Walaupun keletihan tapi memang puas hati.
Sesungguhnya, kenangan bersama rakan-rakan sepanjang sehari itu memang akan menjadi kenangan terindah dalam hidup aku. 


dengan ingatan tulus ikhlas buat rakan-rakan, 
Nisa, Gee, Has, Asmida, Mus, Kak Ila, Aien, Nurul, Amie, Ridhwan, Nuzul, Shahril, Radzi, Yon, Pidot, MatNo, Sukur, Fek, dan juga Ery. Semoga jumpa lagi
Sekian.

Selasa, 14 Jun 2011

Coretan dari Bumi di Bawah Bayu


Untuk kali pertama aku pergi ke Sabah... sepanjang 10 hari di sana bersama-sama kenalan-kenalan baru... nak tau macam mana pengalaman pertama aku di Sabah? Jom baca entry untuk edisi kali ini yang aku tulis khas untuk rakan-rakan kembara GEGAR PERSADA di 'Bumi Di Bawah Bayu'. Aku cuba mengarang entry ini dengan tidak tergesa-gesa supaya setiap pengalaman sepanjang berada di sabah dapat diabadikan secara jelas di sini, untuk rakan-rakanku yang terbaca entry ini, aku ucapkan salam pertemuan dan semoga kenangan terindah kita bersama di Sabah tidak akan dilupakan.


4 Jun 2011 
Seawal jam 4.00 pagi kami bergerak ke LCCT dari UiTM Shah Alam. Penerbangan kami dijadualkan jam 10.20 pagi dan alhamdulillah, penerbangan kami tepat pada masa. Pesawat AirAsia jenis A320 berjaya melaksanakan tugasnya dan kami tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 12.30 tengahari. 
peswat Airasia Airbus A320 LCCT-KLIA
Ketibaan kami disambut abang Henry, pemandu dari UMS dan terus dibawa ke "kampung E"  (kolej penginapan di sini dipanggil "kampung"), Universiti Malaysia Sabah (UMS). Petang itu, kami sekadar berjalan-jalan di Kompleks 1 Borneo, mencuci mata melihat tempat orang. Di Sabah, masa di sini sama seperti di semenanjung tetapi masa sebenar, awal lebih kurang 1 jam berbanding di semenanjung. Jam 6.00 petang, keadaan sudah mulai gelap.


5 Jun 2011
Jam 1.00 pagi, kami bertolak ke Umas, perjalanan malam dan kami semua tidur sepanjang perjalanan. Paginya, kami berhenti di Lahad Datu untuk bersarapan dan kemudian terus ke Tawau sebelum tiba di Umas sekitar jam 12.30 tengahari. Kami disambut penduduk Umas yang akan menjadi penjaga kami merangkap keluarga angkat sepanjang kami di Umas. Alhamdulillah, aku dapat keluarga yang mesra dan ramah. Petang itu, aku bersama housemate, berjalan-jalan sekitar Umas setelah dapat pinjam motor ayah angkat, bukan ape, sekadar melihat-lihat tempat orang.. Makan tengahari di rumah keluarga angkat, aku terkejut dihidangkan dengan kerang sebesar separuh tapak tangan (di Sabah, kerang dipanggil Tudai) ni gambarnya aku tunjukkan sebagai bukti. besaarkan.... dua kali gigit baru habis. Isinya sahaja sebesar kerang yang paling besar di semenanjung... Jujur, makanan laut di Sabah memang sedap dan segar.


6 Jun 2011-8 Jun 2011
Sepanjang tarikh ini, kami semua terlibat dengan program bersama pelajar sekolah di sini dan juga banci penduduk. Sepanjang membanci macam-macam jenis orang dapat dilihat dan pada masa inilah pelbagai masalah penduduk di sini dapat aku dengar... tapi, apakan daya, apalah yang dapat aku buat..
Di sini, kami sempat berkonvoi melihat jeti yang berada tidak jauh dai Umas, berdekatan sempadan Indonesia. Petang-petang selepas membanci, sempat juga kami berjalan-jalan, bukan apa, sekadar merehatkan minda. Kami berada di sana sekejap sahaja untuk mengambil gambar memandangkan masa tidak mengizinkan...


Sepanjang di sini, sempat aku belajar serba sedikit tentang adat tempatan. Antaranya, jangan sesekali menyusun pinggan mangkuk setelah selesai makan selagi ketua keluarga belum habis makan. Sebab? Aku pun tak tau. Yang lain, perbezaan istilah seperti kenduri. Di sini, istilah kenduri hanya digunakan untuk majlis seperti majlis tahlil untuk orang mati, tidak seperti di semenanjung yang menggunakan istilah kenduri untuk semua majlis keraian. Majlis perkahwinan dipanggil pesta kahwin di sini.
Malam 8 Jun, jam 12.00 malam, kami meninggalkan Umas dengan diiringi keluarga angkat. Terima kasih aku ucapkan kepada keluarga angkat, Ayah Ardiansa dan keluarga kerana menerima kami seadanya dan melayan kami dengan baik sepanjang kami di sana. Sebelum kami balik, sempat juga Ayah Ardi dan Isterinya membelikan hadiah untuk kami. Insyaallah, akan aku jaga hadiah itu sebaik mungkin.. Malam itu, kami bergerak ke Kundasang untuk program seterusnya.


9 Jun 2011
Pagi itu bas berhenti di Telupit untuk bersarapan... sekadar makan mi goreng telur mata dan teh o suam, sume sekali 4 ringgit... hmm...

Sepanjang perjalanan, sempat juga kami singgah di Gerai buah-buahan dan sayur-sayuran di tepi jalan di Kundasang. Pagi itu, Gunung Kinabalu dilitupi kabus tebal, cuaca agak baik, terasa juga kedinginannya.. Memandangkan kami kumpulan terawal yang tiba, kami dapat berjalan-jalan sekitar setengah jam di situ. Jom tengok gambar di situ..

Pemandangan biasa di gerai-gerai... semuanya segar-segar.

Nak sayur apa? semua ada, fresh lagi tu..
 Ha.. yang ni agak menarik... kali pertama aku tengok dan rasa buah ni. Buah Lemak Manis, rasanya seakan-akan buah ciku, lemak dan tidak bergetah.. buahnya lembut dan sedap. Patut cuba kalau jumpa.
Buah Lemak Manis
 Yang ni buah Nona.. agak biasa dijumpai..
Buah Nona
 Ok, next kami meneruskan perjalanan ke Kem BTN Kundasang, Kem BTN tercantik di Malaysia. Semasa kami tiba di sana, Puncak Kinabalu masih lagi diliputi awan tebal.. 

Gunung Kinabalu mula menampakkan puncaknya dengan jelas sekitar jam 6.00 petang, pada masa ini hari sudah semakin gelap. Suhu di sini agak sejuk, kalau tak ada sweater atau jaket, memang menggigil jugak la... Mujur, di sini disediakan air panas, kalau tak, tau-tau je la kan.. Aku pernah ke Cameron Highland, kalau nak bandingkan, di Kundasang ni lagi sejuk kot..
Pagi esoknya, Gunung Kinabalu megah menonjolkan diri, tidak lagi diselimuti awan tebal. 
Cuaca di sini memang sejuk. Kami sempat merasai angin kuat di sini yang membuatkan suhu menjadi semakin sejuk.
Ok, yang ni aku tunjukkan gambar-gambar sekitar kem, pemandangan yang sangat cantik...

Waktu senja
Pintu masuk berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu

Program kami berakhir di sini, sepanjang dua minggu bersama, walaupun awalnya saling tidak mengenali, masa telah mengeratkan kita. Susah dan senang telah kita harungi bersama, kepada sahabat-sahabatku, walaupun program ini habis di sini, persahabatan itu pasti tidak akan habis. Semoga jarak yang memisahkan kita semua akan menjadikan persahabatan kita semua semakin utuh. 
Ok, mungkin sampai di sini coretan aku kali ini. Nantikan entry akan datang, "Sehari di Kota Kinabalu"... akan aku coretkan kenangan terindah bersama kalian pada hari terakhir kita semua bersama.



Di penghujungnya, kami semua telah bertolak pulang ke semenanjung pada 13 Jun 2011 dari Lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu dan selamat tiba ke LCCT, Adat pertemuan pasti adanya perpisahan, di LCCT kami membawa haluan masing-masing tetapi aku yakin, walau jarak memisahkan, kenangan suka dan duka telah menyatukan kami. Sekian, salam jumpa lagi kawan-kawan =).

Isnin, 13 Jun 2011

@FELDA Layang-Layang

Sebenarnya aku tak terniat pun nak menulis tentang pengalamanku di FELDA layang-layang. Tapi, kadang-kadang teringat-ingat kenangan tu dan aku tak nak kenangan tu berlalu pergi begitu sahaja, jadi, aku cuba menulis tentang pengalaman aku selama empat hari tiga malam di sana.
Pintu Gerbang ke FELDA Layang-Layang
Lokasinya, FELDA Layang-Layang, Simpang Renggam, Johor. Pergi kesana atas tiket PERSADA, aku dan 19 rakan-rakan yang lain bergerak dari UiTM Shah Alam pada pagi 31 Mei 2011 pada jam 8.00 pagi. Perjalanan agak jauh, kami tiba sekitar jam 1.15 petang, terus ke masjid untuk solat zohor. Selesai menunaikan kewajipan, kami terus ke dewan, dan ketibaan kami semua disambut Encik Osman, Pengurus FELDA disitu. 
Masjid FELDA Layang-Layang
Encik Osman
FELDA Layang-Layang dikira tanah rancangan yang kecil, penduduknya sekitar 130 buah keluarga sahaja. Majoritinya orang Melayu Jawa Johor. Bandar terdekat, Pekan Simpang Renggam, lebih kurang 15 minit dari sini. Disebabkan penduduknya yang sedikit, segala keperluan penduduk tempatan banyak dibeli di pekan Simpang Renggam. Hanya ada sebuah D'Mart untuk membeli keperluan.
D'Mart
Sepanjang disana, kami dilayan dengan sangat baik, dianggap seperti saudara sendiri walaupun baru kali pertama bersua muka. Memang betullah kata orang, orang Melayu Jawa, sangat baik dalam melayan tetamu, makan dan minum kami semua dijaga dengan baik. Pengalaman yang tidak boleh aku lupakan ketika makan 'nasi ambeng', makanan tradisi orang Melayu Jawa. Atas jemputan Tuan Haji Togimat kerumahnya untuk kenduri kesyukuran. kali pertama aku menikmati 'nasi ambeng' made in Johor... 'Nasi Ambeng' ni, biasa dihidangkan kepada tetamu semasa kenduri. Terpulang kepada tetamu untuk makan disitu atau bungkus sahaja untuk makan di rumah. 'Nasi Ambeng' dihidangkan dalam talam dan selalunya empat atau lima orang untuk satu talam.
'Nasi Ambeng'


Sepanjang disana juga kami sempat dijamu Nasi beriyani gam, Gulai daging dan Sup tulang, air tangan makcik-makcik dan pakcik-pakcik FELDA Layang-Layang semasa kenduri sekampung. Memangnya, menu Nasi Beriyani gam dan Gulai daging memang sangat terkenal disini. Tulang-tulang lembu selebihnya dibuat sup. Perkara baru yang aku pelajari, Gulai daging dan Nasi Beriyani Gam ni, rupanya dimasak dalam satu periuk. Di bawahnya Gulai daging, kemudian Nasi Beriyani pula dimasak diatasnya, dibalut dengan kain. Selalunya, tulang lembu atau tin susu akan dijadikan tungku bagi memisahkan Nasi Beriyani dan Gulai daging. 
Sup Tulang sedang mendidih
Nasi Beriyani Gam siap
Petang itu, aku sempat menikmati sup tulang, dan roti sambil bersembang-sembang dengan pakcik-pakcik di ruang makan masjid disitu. Makan roti bersama sup tulang memang sedap. Lagi-lagi waktu sup masih lagi panas. Tapi, apabila sup dah sejuk, bibir pun tebal. Maklumlah, lembu kan banyak lemak. 
Hari jumaat, 1 Jun 2011 selepas solat Jumaat, kami bergerak semula ke Shah Alam untuk program seterusnya. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Kenangan di FELDA Layang-Layang pasti tidak akan kulupakan.  Saat jari-jemariku menaip catatan ini, fikiran jauh melayang terkenang keluarga Haji Ambok yang melayan kami berlima dengan baik.
Zaman bergelar 'student' memang zaman yang penuh keseronokan, pergi kesana-sini, kenalan-kenalan baru, bermasyarakat dan macam-macam lagi. Orang kata, zaman muda zaman mengenal dunia, mencari pengalaman dan meneroka pelbagai perkara baru. Aku harap dapat lagi aku kesana.
Rumah Haji Ambok
(catatan saat terkenang...)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...