Pages

Selasa, 30 Ogos 2011

Berlalunya Ramadhan 1432H

Jam 8.05 malam tadi, penyimpan mohor besar raja-raja, Datuk Syed Danial bin Syed Ahmad, telahpun mengumumkan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini  yang jatuh pada tanggal 30 Ogos 2011M. Dalam kegembiraan menyambut Syawal, hati kecil ini keberatan meninggalkan Ramadhan 1432H yang kian melabuhkan tirai, membuka ruang-ruang penyesalan kerana tiada lagi Ramadhan 1432 yang akan datang. Ia kekal dalam lipatan sejarah dan yang pasti, walaupun Ramadhan akan datang lagi, ia tiada ganti. 
Kepada tuhan kupanjatkan keampunan kerana lemahnya diri ini membiarkan kehadiran Ramadhan kali ini berlalu tanpa mengambil peluang dengan sesungguhnya, membiarkan diri ini terlena dan terus dibuai mimpi indah duniawi...
Teringat pesan seorang guru sewaktu di bangku persekolahan, katanya, "walau seminit yang berlalu, telah jauh meninggalkan kita dibelakang, seribu tahun yang akan datang, walaupun jauh, kita semakin hampir dengannya." Untuk itu, mungkin kerana lekanya kita hari ini, Ramadhan 1432H bukan lagi untuk kita, ia milik sejarah yang telah kita tinggalkan...
Kesempatan ini, travelog mengucapkan salam Aidilfitri dan salam kemerdekaan... Semoga, setiap amalan sepanjang Ramadhan ini diterima dan maksud Ramadhan dapat kita selami dan hayati. 

Sabtu, 27 Ogos 2011

Sungai Pukin

Sungai Pukin, sungai dalam daerah Rompin. Lokasi di gugusan FELDA Selancar. Entry kali ini bercerita tentang keadaan semasa Sungai Pukin. 
Pagi tadi aku sekadar berjalan-jalan di sekitar Selancar 2. Tergerak hatiku melihat dan meninjau port mandi zaman kanak-kanak dulu...
Dahulu, sekitar tahun 2001, aku masih ingat lagi, airnya jernih, sejuk, tepinya berpasir. Seronok mandi, jika bekalan air terputus, di sungai inilah tempat mengambil air, mandi, basuh baju.. Airnya tidaklah dalam tapi tidak juga terlalu cetek. sekadar paras dada lelaki dewasa. Dulu, waktu aku kecik-kecik, aku mandi di tepi-tepi sahaja, tapi bila abang aku tarik aku ketengah sikit, mulalah aku terkapai-kapai sebab tak pandai berenang... 
tebing yang teruk terhakis

airnya tidak sejernih dulu

Airnya semakin cetek, mengalir lesu


Sungai Pukin
Kini, semua tu tinggal kenangan. Airnya tidaklah sejernih dulu, alirannya semakin lesu dan semakin cetek. Hasil tinjauan sebentar tadi, aku lihat banyak sekali perubahan dalam jangkamasa tidak sampai sepuluhn tahun ni. Tebingnya kian terhakis, pokok-pokok di tebing tumbang ke sungai. Tidak jauh dari situ juga kilang proses ayam dibina sekitar tiga tahun yang lalu. Sisa-sisa ayam dialirkan ke sungai. Tebingnya terhakis teruk, mungkin kerana air deras kerana banjir yang lalu.
Di Universiti, sebagai seorang pelajar Biologi aku banyak didedahkan tentang konsep Ekologi, tentang peri pentingnya menjaga alam sekitar. Mungkin kerana hari ini air terus sampai kerumah melalui paip menjadikan kita semakin lupa hakikatnya daripada sungai itulah sumber air kita. Hari ni pun orang dah merungut air paip semakin kotor, banyak klorin dan menyebabkan pelbagai jenis penyakit sampaikan di rumah aku pun dipasang Master Filter, penapis air sebesar tong gas untuk membuat penapisan air paip.
Hakikatnya, setiap apa yang telah kita buat pada alam ini akhirnya kepada kita jugalah akan dikembalikan... Persoalannya, apa yang boleh kita lakukan?

Rabu, 24 Ogos 2011

Info USM.

Assalamualaikum dan salam Ramadhan hari ke-24. Keputusan pilihan ke Universiti sudah lama diumumkan. Tahniah aku ucapkan kepada sesiapa sahaja yang telah berjaya masuk ke universiti a.k.a menara gading, tak kisahlah dapat 'oversea' ke, 'over the sea' ke (such as Penang, Sabah and Sarawak) ataupun 'not crossing the sea' (di semenanjung sahaja).. tak lawak..
Baiklah, untuk makluman, entry kali ini aku tujukan khas buat sesiapa sahaja yang bakal bergelar mahasiswa dan mahasiswi Universiti Sains Malaysia, Kampus Minden, Pulau Pinang. Selamat datang ke Pulau Mutiara (kononnya). 
Peta Kampus Minden (tidak termasuk kompleks desasiswa RST)
Kampus Minden merupakan kampus induk, menempatkan pelajar-pelajar jurusan Sains, Sastera dan Hibrid. Diasaskan pada 1969, USM pada awalnya bukanlah siap sedia di tempat ia berada sekarang. Sebelum diberikan taraf Universiti, USM digelar Maktab Universiti, terletak di Sungai Ara. Sekarang, tapak lama USM dijadikan Kem Tentera. Tapak baru USM pula merupakan tapak bekas kem tentera dikenali sebagai 'Minden Barracks'.  Sebagai bekas tapak kem tentera, banyak peninggalan British dari segi binaan bangunan yang masih lagi dapat dilihat pada hari ini.
Tan Sri Hamzah Sendut;
di Perpustakaan utama
USM kini berusia 42 tahun, dan merupakan universiti kedua tertua di Malaysia selepas Universiti Malaya. Sejak penubuhannya sehingga sekarang (2011), seramai lima orang Naib Canselor (V.C) telah mencurahkan bakti, membina dan membangunkan USM seperti yang kita lihat sekarang. VC pertama, Tan Sri Hamzah Sendut, yang merupakan perancang utama Kampus Minden, diikuti Tun Hamdan Sheikh Tahir, Tan Sri Musa Mohamad, Prof. Dato' Ishak Tambi Kechik dan kini Y. Bhg. Prof Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak yang telah membawa pelbagai perubahan dan transformasi sehingga USM berjaya mendapat status APEX pada tahun 2009.
Helang Merah Kebanggaan USM
Kampus Minden, cantik dan tersusun, menghadap jambatan Pulau Pinang, sekarang digelar kampus sejahtera menggunapakai konsep kampus dalam taman dan dapat kita lihat persekitarannya yang menghijau. Disini, kolej penginapan pelajar digelar Desasiswa yang merangkumi lapan (8) Desasiswa iaitu Desasiswa Aman Damai, Desasiswa Bakti Permai, Desasiswa Cahaya Gemilang, Desasiswa Fajar Harapan, Desasiswa Indah Kembara, Desasiswa Restu, Desasiswa Saujana dan Desasiswa Tekun. Disini juga tiada istilah Fakulti digunakan. Yang ada hanyalah Pusat Pengajian a.k.a 'school'. Dalam memperkenalkan tema kelestarian, kehadiran Helang Merah di sekitar USM membawa berita gembira. Menunjukkan kampus Minden ini masih lagi terlindung dari kesan urbanisasi melampau, memberi ruang untuk spesis ini berlindung dan  mengekalkan spesis mereka.
Pemandangan Kampus Minden dari desasiswa Tekun.
Dari jauh nampak bangunan Canselori.
Cukup panjang aku berceloteh tentang kampus Minden. Aku ucapkan tahniah kepada yang bakal bergelar Mahasiswa dan Mahasiswi USM. Tahniah kerana terpilih ke USM, Selamat datang dan Semoga berjaya. 

Selasa, 23 Ogos 2011

Catatan Perjalanan

Aku baru sahaja tiba di rumah, menikmati cuti berhari raya dua minggu. Semalam, baru sahaja bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KSU KPT), Datuk AB Rahim Md Noor di bangunan Kementerian Pengajian Tinggi di Presint 5, Putrajaya. 
Bangunan KPT, Putrajaya
sumber: http://www.benashaari.com
Pagi semalam, bertolak daripada Universiti Sains Malaysia menaiki kenderaan rasmi USM ke Putrajaya. Bertolak pada jam 10.00 pagi, aku dan Syamil, sampai di Putrajaya pada jam 2.00 petang. Memandangkan majlis bermula pada jam 4.30 petang, kami singgah ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin a.k.a Masjid Besi sementara menunggu rombongan daripada UPM untuk kemajlis sama.
Pada jam 3.00 petang, kenderaan dipandu Abang Mahzan dan Abang Ridhuan membawa kami sekitar Putrajaya, melihat keindahan senibina dan Landskap bandar baru bekas air tangan mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau memegang tampuk pemerintahan Malaysia.
Memang tidak dinafikan, bandar berstatus Bandar dalam taman ni memang cantik, setiap bangunan mempunyai seni reka tersendiri, lampu-lampu jalan yang unik dan dikelilingi tasik yang indah. Jalan-jalannnya tidaklah sesibuk jalan di Kuala Lumpur, kami tidak bermasalah dengan kesesakan jalanraya dan jalan agak lengang, mungkin kerana penjawat-penjawat awam sedang sibuk bekerja.
Kami tiba di bangunan Kementerian Pengajian Tinggi, bersama-sama bas membawa rombongan daripada UPM. Sambil menunggu program bermula, aku berbual-bual bersama rakan-rakan di lobi Kementerian Pengajian Tinggi. Khabarnya, bangunan ini masih baru dan Kementerian Pengajian Tinggi baru sahaja berpindah kesitu. Bau kemasan solah-olah bau syelek memang jelas dapat dihidu. 
Kami semua terus ke surau di aras 1 bagi menunaikan kewajipan dan selepas itu, aku dan 17 yang lain ke aras 17, bermesyuarat bersama Y. Bhg. Datuk AB Rahim, anak peneroka Ayer hitam, Johor berkenaan PERSADA dan peserta-peserta yang lain di surau, mendengar ceramah agama. 
Datuk AB Rahim
Aku teringat kata-kata Datuk Rahim, katanya, beliau selalu berdoa kepada Allah, walau kemana beliau pergi, beliau sentiasa memohon supaya diletakkan di tempat yang beliau boleh membantu anak bangsa beliau. Bagi aku, sangat wajar beliau memegang jawatan Ketua Setiausaha di KPT, jawatan tertinggi sektor awam di situ.
Selepas itu, kami ke surau, berbuka dengan kurma dan air dan terus menunaikan solat maghrib berjemaah. Majlis berbuka di Dewan jamuan secara sederhana, tiada buffet Ramadhan yang membazir, hanya sekadar nasi putih dan tiga jenis lauk yang bagi aku, biasa saja.  Malam itu kami solat Isya' dan Tarawikh bersama-sama. Majlis tamat sekitar jam 11.00 malam selepas sesi bergambar. Sempat juga aku bergambar bersama Datuk.
Malam itu aku menginap di hotel di Chow Kit, bukanlah hotel murah, sekadar selesa untuk melelapkan mata. Bersahur di Rosdet bersama rakan-rakan. Sempat juga berjumpa senior aku sewaktu si sekolah menengah.. oh, kecilnya dunia...
Jam 10 pagi, aku bertolak ke stesen monorail ChowKit ke Stesen Titiwangsa naik LRT menghala Seri Petaling  ke Bandar Tasik Selatan bersama-sama Nizam, rakan baru kukenal yang sama destinasi denganku. Nasib kami sangat baik, sampai sahaja di TBS, membeli tiket di Kaunter dan terus naik bas. Tak sampai lima minit, bas Cepat Ekspres ke Segamat berjalan.
Di jementah, perjalanan terganggu kerana berlakuya kemalangan. di Jementah sahaja, dua kemalangan. Mujur, tiada pemandangan ngeri yang aku lihat, sekadar bangkai kereta remuk yang tertinggal. Perjalanan diteruskan dan tadi, jam 2.35 petang aku selamat sampai ke Segamat. 
Sedikit terkilan, perancangan aku untuk menaiki keretapi Butterwoth-Segamat tidak dapat diteruskan. Mungkin lain kali. benarlah kata 'kita hanya mampu merancang, tuhan yang menentukan'. Sekian coretan kali ini.

Selasa, 9 Ogos 2011

Travelog Iman

1 Ramadhan 1432 Hijrah jatuh pada tanggal 1 Ogos 2011. 
Hari ini hari kesepuluh Ramadhan, menandakan fasa pertama Ramadhan kian melabuhkan tirai, fasa kedua Ramadhan kian menjelma. Rasanya tidak terlambat untuk travelog mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat islam dari segenap pelosok dunia...
Ramadhan bulan penuh keberkatan, diawalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan diakhirnya pelepasan daripada azab api neraka. 
InsyaAllah, bulan yang penuh barakah ini, sama-sama kita menyusuri lembaran-lembaran kitab suci, menghayati kisah-kisah perjalanan para anbiya' dan mengenangkan perjuangan dan pengorbanan Rasulullah s.a.w dalam menyebarkan kalimah iman. 
Meneliti tajuk entry kali ini, Travelog Iman, semoga kehadiran Ramadhan Karim ini akan meningkatkan lagi ketakwaan dan penghambaan kepada Rabb tuhan sekalian alam.
sekian, wassalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...