Pages

Sabtu, 27 Ogos 2011

Sungai Pukin

Sungai Pukin, sungai dalam daerah Rompin. Lokasi di gugusan FELDA Selancar. Entry kali ini bercerita tentang keadaan semasa Sungai Pukin. 
Pagi tadi aku sekadar berjalan-jalan di sekitar Selancar 2. Tergerak hatiku melihat dan meninjau port mandi zaman kanak-kanak dulu...
Dahulu, sekitar tahun 2001, aku masih ingat lagi, airnya jernih, sejuk, tepinya berpasir. Seronok mandi, jika bekalan air terputus, di sungai inilah tempat mengambil air, mandi, basuh baju.. Airnya tidaklah dalam tapi tidak juga terlalu cetek. sekadar paras dada lelaki dewasa. Dulu, waktu aku kecik-kecik, aku mandi di tepi-tepi sahaja, tapi bila abang aku tarik aku ketengah sikit, mulalah aku terkapai-kapai sebab tak pandai berenang... 
tebing yang teruk terhakis

airnya tidak sejernih dulu

Airnya semakin cetek, mengalir lesu


Sungai Pukin
Kini, semua tu tinggal kenangan. Airnya tidaklah sejernih dulu, alirannya semakin lesu dan semakin cetek. Hasil tinjauan sebentar tadi, aku lihat banyak sekali perubahan dalam jangkamasa tidak sampai sepuluhn tahun ni. Tebingnya kian terhakis, pokok-pokok di tebing tumbang ke sungai. Tidak jauh dari situ juga kilang proses ayam dibina sekitar tiga tahun yang lalu. Sisa-sisa ayam dialirkan ke sungai. Tebingnya terhakis teruk, mungkin kerana air deras kerana banjir yang lalu.
Di Universiti, sebagai seorang pelajar Biologi aku banyak didedahkan tentang konsep Ekologi, tentang peri pentingnya menjaga alam sekitar. Mungkin kerana hari ini air terus sampai kerumah melalui paip menjadikan kita semakin lupa hakikatnya daripada sungai itulah sumber air kita. Hari ni pun orang dah merungut air paip semakin kotor, banyak klorin dan menyebabkan pelbagai jenis penyakit sampaikan di rumah aku pun dipasang Master Filter, penapis air sebesar tong gas untuk membuat penapisan air paip.
Hakikatnya, setiap apa yang telah kita buat pada alam ini akhirnya kepada kita jugalah akan dikembalikan... Persoalannya, apa yang boleh kita lakukan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...