Pages

Rabu, 30 November 2011

Istana negara: dari jalan Istana ke Jalan Duta

Istana negara merupakan kediaman rasmi bagi DYMM Yang Dipertuan Agong Malaysia. Perlembagaan Malaysia, perkara 32 telah menyebutkan "hendaklah ada seorang ketua utama negara bagi  persekutuan yang  digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis raja-raja". Oleh itu, wajarlah sebuah istana didirikan sebagai kediaman rasmi seorang Yang Dipertuan Agong. Tanggal 11.11.11, merupakan tarikh yang paling cantik dalam tahun 2011 dan merupakan tarikh rasmi bermulanya era kegemilangan Istana Negara yang baru di Jalan Duta. Sebelum ini, Malaysia tidak pernah mendirikan Istana Negara dan apa yang ada hanyalah sebuah istana bertaraf sebuah banglo. 
Istana negara lama di jalan Istana
Mengikut sejarah, istana di Jalan Istana merupakan sebuah rumah agam milik seorang hartawan berbangsa Cina bernama Chan Wing. Dengan keluasan 28 ekar (11.34 hektar) yang terletak di tepi bukit Petaling, Kuala Lumpur, yang menghadap Sungai Klang. Dibina pada tahun 1928, bangunan ini telah pernah menjadi mes pegawai tentera Jepun sewaktu zaman pendudukan Jepun pada 1942-1945. Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini telah dibeli oleh kerajaan negeri Selangor dengan harga RM 150,000.00 untuk dijadikan istana DYMM Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor ketika itu. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan (pada ketika itu digelar Malaya), kerajaan persekutuan telah membeli bangunan itu dengan harga RM 1.4 juta dan dengan kos sebanyak RM 328,000.00 untuk pengubahsuaian. Yang Dipertuan Agong pertama, Tuanku Abdul rahman Tuanku Muhammad merupakan ketua negara Malaysia yang pertama bersemayam di Istana yang berwarna putih dan mempunyai dua kubah berwarna kuning keemasan ini. 
Banglo lama (1945)
Kemudian istana ini telah direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale dengan menggunakan kontraktor tempatan. Dengan mengekalkan struktur utama, pengubahsuaian selama empat bulan ini membuat penambahan bilik (daripada 13 kepada 20), dapur bagi 100 orang, balai mengadap, 4 bilik tetamu, dua buah balai kemasukan dan sebuah dewan santapan. Pada penghujung 1957, Balairong Seri sementara berharga RM 170,000 telah dimunsnahkan dan digantikan dengan Balairong Seri yang lebih besar. Satu lagi siri pengubahsuaian yang besar pada tahun 1980 dengan penambahan Balairong Seri Utama iaitu tempat siggahsana diletakkan dengan dikelolakan oleh Arkitek Jabatan Kerja Raya, Kapten David Wee. Balairong Seri ini pertama kali semasa pertabalan DYMM Yang Dipertuan Agong ke-7, Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 1980. Kemudahan lain yang terdapat disini seperti singgahsana kecil di aras satu, dewan kecil, bilik permaisuri, bilik mesyuarat Majlis Raja-raja, Bilik Menteri dan kemudahan rekreasi seperti dewan badminton, gelanggang tenis, gimnasium dan kolam renang.
Perpindahan istana sepenuhnya pada 15 November 2011 ke Istana baru di jalan Duta dengan penuh istiadat. Istiadat menurunkan bendera rasmi Yang Dipertuan Agong dilakukan pada jam 9.00 pagi dengan diiringi tiupan paluan akhir sewaktu bendera diturunkan. Penyerahan bendera rasmi dilakukan di pintu masuk utama kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Tengku Abdul Jalil. Kira-kira jam 9.40 pagi, pintu masuk utama ini dikunci sebagai simbolik berakhirnya fungsi Istana itu sebagai kediaman rasmi DYMM Yang Dipertuan Agong.
Istana negara yang baru, terletak di Jalan Duta, beroperasi sepenuhnya pada 11.11.11 dan pada 15.11.11 secara rasmi menjadi Istana negara dan Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasmi menjadi DYYM Yang Dipertuan Agong pertama bersemayam di Istana baru ini. Setelah pelbagai kontroversi berkaitan pembinaan istana ini, istana yang mula dibina pada 2007 ini akhirnya siap dibina dengan kos menelan RM800 juta ringgit berbanding kos asal sebanyak RM400 juta ringgit. Dengan keluasan 241.3 ekar (96.52 hektar) sejumlah hanya RM 650 juta diperuntukkan untuk pembinaan kompleks istana, RM 130 juta untuk persimpangan bertingkat dan 32.5 juta untuk naiktaraf jalanraya. Kumpulan Seni Reka Sdn Bhd menjadi arkitek dan Maya Maju Sdn Bhd menjadi kontraktor utama. 
Panorama Istana berlatarbelakangkan Kuala Lumpur
Kompleks ini merupakan Istana negara yang pertama dibina setelah perancangan semenjak 1980 untuk membina sebuah istana negara bagi menggantikan istana yang sedia ada. Menampilkan estetika dan kesenian Melayu Tradisional dan ciri-ciri Islam, istana negara ini dibina merangkumi 3 komponen utama iaitu komponen rasmi, komponen diraja dan komponen pentadbiran. Mempunyai 3 laluan masuk, Pintu Gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari jalan Duta dikhaskan untuk kegunaan Yang Dipertun Agong, Raja-raja, Yang Dipertua Negeri, ketua-ketua negara dan ketua kerajaan.  Pintu masuk kedua yang terletak di Jalan Semantan Dungun dikhaskan untuk tetamu-tetamu diraja dan pintu masuk ketiga terletak di Jalan Seri Hartamas, Mont Kiara ialah untuk kegunaan rakyat yang ingin berurusan dengan pihak Istana Negara.
Kubah utama setinggi 40 m atau 10 tingkat di lobi utama istana menampilkan rekabentuk seperti daun sirih bertindih. Cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah ini pada waktu malam memberikan kesan ilusi yang menarik. Selain itu, cahaya itu akan bertukar warna mengikut acara rasmi yang diadakan dapat dilihat secara jelas daripada luar kawasan istana. Daripada 241.3 ekar tapak istana, hanya sekitar 65 hektar sahaja dibangunkan dan selebihnya dikekalkan sebagai zon penampan keselamatan.
Pintu gerbang istana tersergam indah
Meskipun pelbagai isu dibangkitkan semasa pembinaan istana ini, akhirnya istana ini siap dibina dan sempat menyaksikan pertabalan DYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'azzam Shah sebagai Yang Dipertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 yang juga merupakan Yang Dipertuan Agong pertama ditabalkan ke jawatan itu sebanyak dua kali. Kali pertama pada 21 September 1970 sehingga 20 September 1975 sewaktu era Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan kini anaknya, Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri.
"Raja adil raja disembah, Raja zalim lagi disanggah" 
"Daulat Tuanku!"

maklumat lanjut berkaitan istana negara rujuk disini

1 ulasan:

  1. Nama saya Wati, editor untuk buku teks Pendidikan Seni Visual ting 5 KSSM yang diterbitkan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia ingin meminta kebenaran untuk menggunakan salah satu foto dalam blog ini. Foto ini hanya digunakan untuk tujuan pendidikan semata-mata.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...