Pages

Selasa, 11 Oktober 2011

Ronda-ronda Pulau Pinang (part 1)

Meluangkan masa hujung minggu bersama rakan-rakan, seawal jam 7.30 pagi kami berkumpul. Cuaca mendung pagi ini, mungkin tidak berapa baik untuk berjalan-jalan. Dalam hati aku berdoa semoga perjalanan hari ini selamat daripada sebarang malapetaka dan sentiasa dipermudahkan segala urusan.


Destinasi pertama kami, Bukit Bendera
Stesen bawah Bukit Bendera
Bukit Bendera juga dikenali sebagai 'Penang Hills' merupakan antara kawasan tanah tinggi yang telah dibangunkan sejak zaman British sekitar akhir abad ke-18. Dibina sebagai tempat rehat pegawai British pada masa itu kerana kawasannya yang dingin, Bukit Bendera menyimpan sejarah tersendiri. Proses pembangunan Bukit Bendera telah dimulakan oleh Francis Light dengan menggunakan buruh-buruh daripada India dan orang tempatan.


Dengan ketinggian 833m(2,723ft) daripada aras laut, Bukit Bendera bukan sahaja menjanjikan suhu yang lebih dingin tetapi juga panorama seluruh Pulau Pinang boleh dilihat dari Puncak Bukit Bendera. Perjalanan ke puncak hanya dihubungkan dengan sebuah tren yang mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja. Sejarahnya,  tren pertama telah dibangunkan pada tahun 1901 dan siap pada 1905 tetapi tidak dapat digunakan kerana masalah teknikal. Pada 1914, dengan bajet sebanyak 1.5 juta Straits Dollar projek ini diberi nafas baru dan telah dirasmikan pembukaannya pada 1 januari 1924 oleh L.N. Guillemard, Gabenor Negeri Selat. 
Landasannya sepanjang 2,007m. Tren Bukit Bendera telah digantikan dengan tren daripada Swiss yang diperbuat daripada aluminium pada 1977 dengan kos RM 2.3 juta. Yang terkini pada 2010. Tren terkini lebih canggih dan boleh memuatkan lebih kurang 80 orang dalam satu-satu masa.
Tren lama generasi ketiga (1977-2010)
Sampai di puncak Bukit Bendera, kabus tebal kerana hujan lebat malam itu mengehadkan pemandangan. Nampaknya takde rezeki nak tengok panorama Pulau Pinang. Selain pemandangan yang menarik, terdapat sebuah meriam di atas sini yang menghala ke arah pantai dan juga sebuah kuil dan sebuah masjid yang terletak berdekatan antara satu sama lain.
Meriam seberat 2.75 ton ini dapat menembak bebola besi seberat 32 paun dengan kelajuan 1600 kaki sesaat. Ia diperbuat daripada gangsa (campuran timah dan tembaga) yang kebiasaannya digunakan oleh tentera pada abad ke-18 dan 19. Tidak diketahui asalnya, kemungkinan meriam ini dibawa ke atas bukit ini sebagai hiasan ataupun amaran ancaman lanun.
Masjid Bukit Bendera dibina pada 1966. Dibina untuk kegunaan pekerja-pekerja Muslim disini. Telah dirasmikan oleh T.Y.T Pulau Pinang, Raja Tun Uda bin RajaMohammed Al-Haj pada 22 April 1966. Alhamdulillah, salah satu tanda syiar Islam di puncak Bukit Bendera.


Pagi itu, tak berpeluang melihat panorama Pulau Pinang. Sekadar melihat kabus tebal kerana hujan lebat malam itu.

Tren baru Bukit Bendera. Mula digunakan pada tahun 2010 dengan kadar baru, RM 4.00 untuk kanak-kanak, RM 8.00 untuk dewasa. dan untuk pelancong asing dikenakan RM 15.00 dan RM 30.00 masing-masing untuk kanak-kanak dan dewasa. 


bersambung dalam entry akan datang...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...