Pages

Rabu, 19 Oktober 2011

Spice Garden, Pulau Pinang.

"If today we don't have money, we still can work hard and get more money. One that have no money still can be happy but one that are not healthy are perfectly unhappy", Mr Joseph, pemandu pelancong di 'Spice Garden' menarik perhatian aku. Ikuti kisah menarik, di 'Spice Garden, Tanjung Bunga, Pulau Pinang lor...
Spice Garden dibuka kepada umum pada 27 November 2003. Dengan yuran masuk sebanyak RM 9.00, taman ini menjanjikan kedamaian dan ketenangan buat penggemar alam semulajadi. Perjalanan sekitar 5 minit dari tanjung bunga, Taman seluas 8 ekar ini dipenuhi lebih 500 ekar yang mana, tanaman herba memenuhi sekitar 4.5 ekar dan selebihnya adalah hutan sekunder. Mungkin dengan kata-kata sukar digambarkan, jom sama-sama melihat dan mengenali herba-herba terpilih dari 'Spice Garden', Pulau Pinang.
mas Cotek (Ficus deltoidea)
Bunga Kantan (Etlingera elatior)
Som Jawa (Talinum paniculatum)
Kacip Fatimah (Labisia pumila)
Paku tunjuk langit
(Helminthostachys zeylanica)
Vanilla
Herba dan rempah ratus dalam masakan
Misai Kucing (Zingiber otensii)


antara pemandangan menarik disini
"Dry stone wall"
 "Dry stone wall" dibina oleh Kevin Sadler, seorang pengembara dari England. Beliau merupakan pakar dalam membina binaan ini. Teknik ini yang memerlukan kesabaran dan ketekunan dalam memotong dan menyusun bongkah batu mengikut saiz dan bentuk. Yang menarik, dinding ini dibentuk tanpa menggunakan simen dan hanya bergantung pada susunan batu sahaja.
pemandangan pantai Batu Feringghi dari celahan pokok di taman
sekian untuk coretan kali ini.

Rabu, 12 Oktober 2011

Ronda-ronda Pulau Pinang (part 2)

sambungan daripada entry yang lepas,


Destinasi kami yang seterusnya, Taman Botani.
Kerana kesuntukan masa, kami hanya sempat meluangkan sedikit masa di sini. Menikmati keindahan hutan di kawasan bandar sedikit sebanyak memberikan ketenangan. Taman Botani atau juga dikenali Taman Kebun Bunga merupakan kawasan rekreasi awam di Pulau Pinang. Terletak berdekatan dengan Georgetown, taman ini sering menjadi tempat bersiar-siar, berjoging dan melakukan aktiviti santai. 
Tetamu tak diundang
Membawa makanan tidaklah digalakkan kerana banyak tetamu tidak diundang disini, takut dikejar pula. Nama lain bagi taman ini juga ialah 'Waterfall Gardens', jarang sekali didengar. Wujud sejak tahun 1884, Taman ini merupakan antara taman botani tertua di dunia diwujudkan hasil usaha Charles Curlis, seorang pegawai British pada ketika itu. Taman botani ini seluas 242 hektar dan masih lagi terpelihara daripada pembangunan melampau. Taman ini dibuka dari jam 5.00 pagi-8.00 malam. Masuk adalah percuma. 
Bagi pencinta alam, Taman ini adalah destinasi wajib pergi semasa di Pulau Pinang. Antara yang menarik di sini:
Antara tumbuhan menarik yang aku jumpa, pokok cannonball, teratai gergasi dan satu lagi pokok yang aku x kenal.
Air terjun buatan
Destinasi seterusnya, Masjid Terapung Tanjung Bunga
Masjid Tanjung Bunga terletak di pertengahan jalan menuju ke Pantai Batu Feringghi. Siap dibina dan dirasmikan pada 16 Mac 2007 oleh YAB Tun Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5. Dengan kos RM 15 juta, Masjid ini dibina bagi menggantikan masjid yang telah dilanda tsunami pada Disember 2004. Berkeluasan 1,295 m persegi, masjid ini dibina seakan-akan terapung di atas air laut disebabkan keluasan tanah yang amat terhad dan harga tanah yang tinggi. 
Masjid dua tingkat ini boleh memuatkan seramai 1,500 orang pada satu-satu masa. Reka bentuknya unik dan kubah berbentuk aerodinamik ternyata sesuai dengan kedudukannya yang terletak menghadap ke laut. Masjid ini mempunyai sebuah menara azan setinggi tujuh tingkat yang diserikan dengan ukiran kayu jati dan seni khat daripada Indonesia.
Kami sempat bersolat zohor berjemaah disana dan ternyata masjid ini tidak sunyi dari kunjungan. Setiap masa pasti ada yang berhenti untuk menunaikan kewajipan.

Hajat dihati ingin menikmati air terjun di Teluk Bahang. Rupa-rupanya kawasan rekreasi ini masih lagi ditutup kerana virus kencing tikus yang lalu. Kami makan tengahari di Pantai Batu Feringghi di bawah teduhan pokok. Menikmati bayu laut sambil menjamu selera. sayang sekali, tidak sempat mengambil gambar.

Perjalanan kami diteruskan ke Padang Kota lama, Georgetown
Tidak banyak tempat yang sempat aku kunjungi, sekadar berjalan-jalan bersama kawan-kawan menyebabkan tidak banyak yang dapat aku kongsikan. Ditambah pula dengan masa yang terhad, menyukarkan untuk aku membuat sedikit kajian. Padang kota ataupun Esplanade merupakan sebuah bandar berdekatan Georgetown, menghadap ke laut. Sedikit gambar bangunan kolonial yang dapat aku kongsikan:
Town Hall
Bangunan MPPP (City Hall)
Destinasi terakhir kami, Masjid Kapitan Keling
Mengikut apa yang telah tercatat, masjid ini merupakan masjid tertua di Pulau Pinang. Terletak di Jalan Masid Kapitan Keling, (dulu dikenali sebagai lebuh Pitt), Masjid ini telah dibina oleh tentera Syarikat India Timur pada abad ke-18. Zaman berlalu, dan penduduk India Muslim bertambah. Seorang ketua kaum India Muslim pada ketika itu, Caudeer Mohudeen yang juga dikenali sebagai Kapitan Kling telah memohon tanah untuk mendirikan masjid ini. Tanah seluas 18 ekar telah diperolehi pada November 1801 dan pembinaan masjid ini dimulakan dengan segera.
Setelah kematian beliau pada 1834, tanah seluas 18 ekar itu tidak lagi diiktiraf sebagai tanah daripada pemberian asal. Pada tahun 1903, hanya 8 ekar tanah sahaja yang tinggal dan selebihnya telah didirikan bangunan rumah kedai dan jalan-jalan awam.
Pernah dijadikan sebagai Masjid Negeri, masjid ini menampakkan senibina British Moghul dengan sebuah menara Mughal dan kubah. Lantainya diperbuat daripada Marmar dan bahagian luarnya kekuningan.
Sebuah menara di hadapan masjid itu terletaknya pusat dakwah dan penerangan Islam yang diketuai oleh Saudara Kamaruddin Abdullah. Semoga dengan adanya usaha ini, Islam terus mekar di bumi Pulau Pinang. Kami sempat bersolat Asar disini sebelum pulang.

Perjalanan kami meronda sekitar Pulau Pinang berakhir di sini. Kerana kesuntukan masa, banyak lagi tempat yang tidak dapat dikunjung. Mungkin di lain masa dan kesempatan akan kusambung kisah ini. Sekian.



Selasa, 11 Oktober 2011

Ronda-ronda Pulau Pinang (part 1)

Meluangkan masa hujung minggu bersama rakan-rakan, seawal jam 7.30 pagi kami berkumpul. Cuaca mendung pagi ini, mungkin tidak berapa baik untuk berjalan-jalan. Dalam hati aku berdoa semoga perjalanan hari ini selamat daripada sebarang malapetaka dan sentiasa dipermudahkan segala urusan.


Destinasi pertama kami, Bukit Bendera
Stesen bawah Bukit Bendera
Bukit Bendera juga dikenali sebagai 'Penang Hills' merupakan antara kawasan tanah tinggi yang telah dibangunkan sejak zaman British sekitar akhir abad ke-18. Dibina sebagai tempat rehat pegawai British pada masa itu kerana kawasannya yang dingin, Bukit Bendera menyimpan sejarah tersendiri. Proses pembangunan Bukit Bendera telah dimulakan oleh Francis Light dengan menggunakan buruh-buruh daripada India dan orang tempatan.


Dengan ketinggian 833m(2,723ft) daripada aras laut, Bukit Bendera bukan sahaja menjanjikan suhu yang lebih dingin tetapi juga panorama seluruh Pulau Pinang boleh dilihat dari Puncak Bukit Bendera. Perjalanan ke puncak hanya dihubungkan dengan sebuah tren yang mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja. Sejarahnya,  tren pertama telah dibangunkan pada tahun 1901 dan siap pada 1905 tetapi tidak dapat digunakan kerana masalah teknikal. Pada 1914, dengan bajet sebanyak 1.5 juta Straits Dollar projek ini diberi nafas baru dan telah dirasmikan pembukaannya pada 1 januari 1924 oleh L.N. Guillemard, Gabenor Negeri Selat. 
Landasannya sepanjang 2,007m. Tren Bukit Bendera telah digantikan dengan tren daripada Swiss yang diperbuat daripada aluminium pada 1977 dengan kos RM 2.3 juta. Yang terkini pada 2010. Tren terkini lebih canggih dan boleh memuatkan lebih kurang 80 orang dalam satu-satu masa.
Tren lama generasi ketiga (1977-2010)
Sampai di puncak Bukit Bendera, kabus tebal kerana hujan lebat malam itu mengehadkan pemandangan. Nampaknya takde rezeki nak tengok panorama Pulau Pinang. Selain pemandangan yang menarik, terdapat sebuah meriam di atas sini yang menghala ke arah pantai dan juga sebuah kuil dan sebuah masjid yang terletak berdekatan antara satu sama lain.
Meriam seberat 2.75 ton ini dapat menembak bebola besi seberat 32 paun dengan kelajuan 1600 kaki sesaat. Ia diperbuat daripada gangsa (campuran timah dan tembaga) yang kebiasaannya digunakan oleh tentera pada abad ke-18 dan 19. Tidak diketahui asalnya, kemungkinan meriam ini dibawa ke atas bukit ini sebagai hiasan ataupun amaran ancaman lanun.
Masjid Bukit Bendera dibina pada 1966. Dibina untuk kegunaan pekerja-pekerja Muslim disini. Telah dirasmikan oleh T.Y.T Pulau Pinang, Raja Tun Uda bin RajaMohammed Al-Haj pada 22 April 1966. Alhamdulillah, salah satu tanda syiar Islam di puncak Bukit Bendera.


Pagi itu, tak berpeluang melihat panorama Pulau Pinang. Sekadar melihat kabus tebal kerana hujan lebat malam itu.

Tren baru Bukit Bendera. Mula digunakan pada tahun 2010 dengan kadar baru, RM 4.00 untuk kanak-kanak, RM 8.00 untuk dewasa. dan untuk pelancong asing dikenakan RM 15.00 dan RM 30.00 masing-masing untuk kanak-kanak dan dewasa. 


bersambung dalam entry akan datang...

Jumaat, 7 Oktober 2011

DREAM

Andai punya ruang dan peluang, perkara-perkara yang aku nak buat. Mungkin hanya sekadar mimpi, tetapi aku yakin, jika ada impian, di situ ada jalan.
1. Jelajah Seluruh Semenanjung Malaysia naik keretapi.

2. Hiking Gunung Kinabalu, Sabah.
Gunung Kinabalu
(sumber:http://www.southeastasia.org/index.php/seaawards/photos/mountain-kinabalu/)


3. Ekspedisi Taman Negara, Endau Rompin


4. Kembara ke Turki


5. Ekspedisi saintifik ke Papua New Guinea


6. Melihat kehidupan Muslim di China


7. Melawat Masjid Al-Aqsa, Palestin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...