Pages

Rabu, 12 Oktober 2011

Ronda-ronda Pulau Pinang (part 2)

sambungan daripada entry yang lepas,


Destinasi kami yang seterusnya, Taman Botani.
Kerana kesuntukan masa, kami hanya sempat meluangkan sedikit masa di sini. Menikmati keindahan hutan di kawasan bandar sedikit sebanyak memberikan ketenangan. Taman Botani atau juga dikenali Taman Kebun Bunga merupakan kawasan rekreasi awam di Pulau Pinang. Terletak berdekatan dengan Georgetown, taman ini sering menjadi tempat bersiar-siar, berjoging dan melakukan aktiviti santai. 
Tetamu tak diundang
Membawa makanan tidaklah digalakkan kerana banyak tetamu tidak diundang disini, takut dikejar pula. Nama lain bagi taman ini juga ialah 'Waterfall Gardens', jarang sekali didengar. Wujud sejak tahun 1884, Taman ini merupakan antara taman botani tertua di dunia diwujudkan hasil usaha Charles Curlis, seorang pegawai British pada ketika itu. Taman botani ini seluas 242 hektar dan masih lagi terpelihara daripada pembangunan melampau. Taman ini dibuka dari jam 5.00 pagi-8.00 malam. Masuk adalah percuma. 
Bagi pencinta alam, Taman ini adalah destinasi wajib pergi semasa di Pulau Pinang. Antara yang menarik di sini:
Antara tumbuhan menarik yang aku jumpa, pokok cannonball, teratai gergasi dan satu lagi pokok yang aku x kenal.
Air terjun buatan
Destinasi seterusnya, Masjid Terapung Tanjung Bunga
Masjid Tanjung Bunga terletak di pertengahan jalan menuju ke Pantai Batu Feringghi. Siap dibina dan dirasmikan pada 16 Mac 2007 oleh YAB Tun Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5. Dengan kos RM 15 juta, Masjid ini dibina bagi menggantikan masjid yang telah dilanda tsunami pada Disember 2004. Berkeluasan 1,295 m persegi, masjid ini dibina seakan-akan terapung di atas air laut disebabkan keluasan tanah yang amat terhad dan harga tanah yang tinggi. 
Masjid dua tingkat ini boleh memuatkan seramai 1,500 orang pada satu-satu masa. Reka bentuknya unik dan kubah berbentuk aerodinamik ternyata sesuai dengan kedudukannya yang terletak menghadap ke laut. Masjid ini mempunyai sebuah menara azan setinggi tujuh tingkat yang diserikan dengan ukiran kayu jati dan seni khat daripada Indonesia.
Kami sempat bersolat zohor berjemaah disana dan ternyata masjid ini tidak sunyi dari kunjungan. Setiap masa pasti ada yang berhenti untuk menunaikan kewajipan.

Hajat dihati ingin menikmati air terjun di Teluk Bahang. Rupa-rupanya kawasan rekreasi ini masih lagi ditutup kerana virus kencing tikus yang lalu. Kami makan tengahari di Pantai Batu Feringghi di bawah teduhan pokok. Menikmati bayu laut sambil menjamu selera. sayang sekali, tidak sempat mengambil gambar.

Perjalanan kami diteruskan ke Padang Kota lama, Georgetown
Tidak banyak tempat yang sempat aku kunjungi, sekadar berjalan-jalan bersama kawan-kawan menyebabkan tidak banyak yang dapat aku kongsikan. Ditambah pula dengan masa yang terhad, menyukarkan untuk aku membuat sedikit kajian. Padang kota ataupun Esplanade merupakan sebuah bandar berdekatan Georgetown, menghadap ke laut. Sedikit gambar bangunan kolonial yang dapat aku kongsikan:
Town Hall
Bangunan MPPP (City Hall)
Destinasi terakhir kami, Masjid Kapitan Keling
Mengikut apa yang telah tercatat, masjid ini merupakan masjid tertua di Pulau Pinang. Terletak di Jalan Masid Kapitan Keling, (dulu dikenali sebagai lebuh Pitt), Masjid ini telah dibina oleh tentera Syarikat India Timur pada abad ke-18. Zaman berlalu, dan penduduk India Muslim bertambah. Seorang ketua kaum India Muslim pada ketika itu, Caudeer Mohudeen yang juga dikenali sebagai Kapitan Kling telah memohon tanah untuk mendirikan masjid ini. Tanah seluas 18 ekar telah diperolehi pada November 1801 dan pembinaan masjid ini dimulakan dengan segera.
Setelah kematian beliau pada 1834, tanah seluas 18 ekar itu tidak lagi diiktiraf sebagai tanah daripada pemberian asal. Pada tahun 1903, hanya 8 ekar tanah sahaja yang tinggal dan selebihnya telah didirikan bangunan rumah kedai dan jalan-jalan awam.
Pernah dijadikan sebagai Masjid Negeri, masjid ini menampakkan senibina British Moghul dengan sebuah menara Mughal dan kubah. Lantainya diperbuat daripada Marmar dan bahagian luarnya kekuningan.
Sebuah menara di hadapan masjid itu terletaknya pusat dakwah dan penerangan Islam yang diketuai oleh Saudara Kamaruddin Abdullah. Semoga dengan adanya usaha ini, Islam terus mekar di bumi Pulau Pinang. Kami sempat bersolat Asar disini sebelum pulang.

Perjalanan kami meronda sekitar Pulau Pinang berakhir di sini. Kerana kesuntukan masa, banyak lagi tempat yang tidak dapat dikunjung. Mungkin di lain masa dan kesempatan akan kusambung kisah ini. Sekian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...