Pages

Khamis, 26 Januari 2012

Kota Bharu

Kota Bharu Bandaraya Islam, begitulah gelarannya. Terletak jauh di utara pantai timur semenanjung Malaysia, Kota Bharu menawarkan pengalaman baru untuk aku catatkan. Kali pertama menjejakkan kaki di sini, kunjunganku atas sebab kerja, masa terluang aku gunakan untuk meronda sekitar Kota Bharu.  Antara tempat yang sempat kulawati, Pasar Besar Siti Khadijah, Bank Pitis, Wakaf Che Yeh, Istana Jahar, Masjid Muhammadi, Muzium Perang dan Menara Tinjau Tambatan Diraja. sedikit terkilan kerana tak berkesempatan ke Pantai Cahaya Bulan, Rantau Panjang dan tempat menarik yang lain. Kebetulan sewaktu lawatan, Muzium Islam ditutup kerana proses renovasi. Alahai nasib.


1. PASAR BESAR SITI KHADIJAH
Pasar ini asalnya Pasar Besar Buluh Kubu dan kemudian ditukar namanya kepada Pasar Siti Khadijah sebagai penghormatan kepada kaum Hawa yang ramai berniaga disini. Nama Siti Khadijah merupakan isteri Nabi Muhammad s.a.w yang juga merupakan seorang peniaga yang berjaya.
Pasar ini berbentuk segi lapan dan mempunyai empat tingkat. Tingkat bawah dikhaskan untuk barang basah seperti sayur-sayuran, buah-buahan makanan. Tingkat 1 pula dikhaskan untuk makanan kering dan kuih tradisonal. tingkat 2 dan 3 pula dikhaskan untuk barang bukan makanan seperti baju batik, kain pasang dan cenderahati. Dalam sibuk mencari keperluan, awas dengan peminta sedekah yang meminta secara gerila, ada yang menyanyikan lagu, meminta secara terus dan juga ada yang memberikan Surah yasin dan jika anda ambil, mereka akan meminta duit daripada anda. 


2. BANK PITIS
Bank Pitis terletak di tepi jalan bersebelahan dengan pintu pagar Istana Balai Besar. Bangunan batu segi empat dengan lebar 12 kaki dan berketinggian 12 kaki merupakan bangunan batu tertua dibina pada zaman Sultan Muhammad iii (Long Kundur bin sultan Ahmad). tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan pitis (matawang kelantan pada zaman dahulu). Daun pintunya diperbuat daripada Kayu cengal dan mempunyai 3 penyelak kunci yang diperbuat daripada besi.


3. MASJID MUHAMMADI
Masjid Negeri Kelantan ini dibina pada tahun 1867 ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad ii (1837-1886) dengan menggunakan kayu-kayu terpilih. Kemudian, pada tahun 1922, pengubahsuaian daripada bangunan kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan dan dirasmikan oleh Sultan Ismail ibni almarhum Sultan Muhammad iv pada 31 Julai 1931. Nama asalnya, Masjid  besar ditukar kepada Masjid Muhammadi bersempena Sultan Muhammad iv yang banyak berjasa kepada rakyat Kelantan. 


4. ISTANA JAHAR
Istana Jahar terletak berhampiran Istana Balai Besar siap dibina pada tahun 1887 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad ii (1837-1886) setelah pembukaan Kota Bharu. Semasa pemerintahan Sultan Muhammad iv, baginda menitahkan supaya ditanam sepohon pokok jahar di laman istana dan kemudian istana ini dinamakan Istana jahar sempena pohon jahar. Mengikut Tan Sri Mubin Sheppard dalam artikelnya 'Kelantan Palaces of the past' beliau menyatakan bahawa bangunan asal ini telah dirobohkan pada 1965 setelah terbiar sekian lama dan dibina bangunan baru sebagaimana sekarang. Kemudian istana ini telah dipinjamkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk dijadikan muzium negeri. setelah Muzium negeri berpindah ke bangunan lama Majlis Perbandaran Kota Bharu, bangunan ini telah dijadikan Muzium adat istiadat Diraja Kelantan yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Kelantan pada 27 Julai 1992. Untuk memasuki Istana ini, pengunjung perlulah membeli tiket berharga RM 2.00 di pintu masuk.


5. MUZIUM PERANG @ BANK KERAPU
Bangunan Muzium perang ini asalnya adalah Bank Kerapu, sebuah bank perdagangan. Dinamakan kerapu kerana dindingnya yang bergerutu dan tidak licin. Bangunan 2 tingkat ini dibina pada tahun 1912 dan dikenali sebagai The Mercantile Bank of India Ltd. Semasa pemerintahan jepun (1942-1945),  bangunan ini dijadikan ibu pejabat kempetai (polis rahsia). Selepas perang, bangunan  ini digunakan semula sebagai bank dan kemudian pada 1981, tingkat atas bangunan ini dijadikan balai seni lukis dan tingkat bawah merupakan dewan kraftangan. Pada 1922, bangunan ini dijadikan memorial perang dunia kedua. Tiket untuk memasuki sebanyak RM 1.00 sahaja.


6. PADANG MERDEKA
Padang Merdeka atau Merdeka Square pada asalnya dikenali sebagai Padang kelupang yang menempatkan pasar yang dipindahkan daripada pasar terapung. Melihat kehijauan rumput disini, pasti ramai yang tidak mengetahui, disinilah jenazah Tok Janggut, yang menentang British di Pasir Putih telah digantung secara songsang pada tahun 1915. Padang ini juga telah menyaksikan majlis pengisytiharan kemerdekaan pada 31 ogos 1957 dan sejak itu dikenali sebagai Padang Merdeka.


7. MENARA TINJAU/MENARA JAM
Menara ini terletak bersebalahan Tambatan Diraja yang bertentangan dengan Sungai Kelantan. Menara 6 tingkat ini setinggi 47 meter digunakan untuk memerhati keadaan sungai Kelantan. berada di tingkat 6, hampir seluruh pemandangan sekitar Kota Bharu dapat dilihat. Untuk menaiki menara ini, pengunjung perlulah membeli tiket dengan harga RM 1.00. Menara ini dibuka untuk kunjungan pada jam 8.00 am - 5.00 pm.
Menara dan Tambatan diraja
8. TAMBATAN DIRAJA (Royal pier)
Struktur ini yang berwarna kuning dan putih terletak di hujung Jalan Sultan terus ke Sungai Kelantan.

Makanan yang paling best dengan harga yang paling best, Nasi Kerabu Ayam percik dengan harga RM4.00, terbaik dari Kelantan.


Best memory always come with friends. These are the moment that I can't forget. 
depan istana Jahar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...